Program Jalinan Kasih ke PPR Beringin

Pada 28 Februari 2009, 50 ahli KRT Lavender Heights telah berangkat ke PPR Beringin. Ini adalah sebagai lawatan balas sambil mengeratkan hubungan siratul-rahim antara kedua-dua KRT.

Sambutan meriah telah kami terima dengan aluan kompang mengiringi para ahli ke khemah pelawat. Ratusan penduduk PPR Beringin bertungkus-lumus menyediakan acara-acara yang bersesuaian dengan agenda lawatan ini. Gerai-gerai menjual makanan dan minuman turut disediakan termasuk juga lah gerai-gerai permainan sebagai salah satu langkah untuk mendapatkan dana menampung perbelanjaan menyambut ahli-ahli dari Lavender Heights.


En Rashid Jantan selaku Pengerusi KRT Beringin dalam kata-kata aluan-nya mengharapkan agar kehadiran ahli-ahli dari Negeri Sembilan ini bukan sahaja dapat menguatkan lagi perhubungan antara dua KRT ini, beliau amat mengharapkan bahawa ini adalah langkah untuk mengurangkan jurang perbezaan antara penduduk berpendapatan rendah/sederhana dengan mereka yang berpendapatan sederhana/tinggi.


Di dalam ucapan balas, En Hamzah Hamid telah menyatakan bahawa sambutan dari pihak PPR Beringin adalah di luar jangkaan memandangkan penglibatan aktif penduduk-penduduk PPR tersebut di dalam aktiviti masyarakat. Pihak KRT Lavender Heights turut menyatakan hasrat agar hubungan akrab ini dapat diteruskan di masa hadapan dengan lebih berjaya lagi. Malahan kehadiran pihak kami juga adalah sebahagian dari misi untuk mempelajari dari KRT yang lebih "established" di dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang dapat dinikmati oleh masyarakat bersama.


Di atas sambutan ini, pihak kita telah menyerahkan sumbangan kepada tabung KRT Beringin sebanyak RM 1,000 ringgit, sebuah cenderahati berharga RM300 dan sumbangan buku-buku agama bernilai RM 1,000 ringgit. Terima kasih tidak terhingga kami ucapkan kepada En Hamzah Hamid, En Abdul Rashid, En Hussain Ismail dan Pn Shapiah Ahmad serta ahli-ahli lain yang telah menyumbang ke arah tersebut. Sebagai balasan, pihak PPR Beringin telah menhadiahkan sebuah replika senapang antik untuk pejabat KRT Lavender Heights apabila/sekiranya ianya dibina kelak.

Pihak PPR Beringin telah menjamu ahli-ahli dengan masakan kampung yang lazat, dimana ianya telah disediakan secara gotong-royong. Kami turut diperdengarkan dengan nyanyian duet En Hamzah Hamid dan Pn Sharifah Aminah, juruacara majlis, sambil menikmati hidangan tengahari. Persembahan Silat Gayung turut memeriahkan majlis sebelum ibu-ibu dari pelbagai kaum mempersembahkan tarian poco-poco dan senam tari yang amat menghiburkan. Kami turut mengambil bahagian di dalam acara sukan rakyat yang rata-rata nya kami amat rasa terhibur.

Walaupun nilai hadiah-hadiah kemenangan dari sukan rakyat tidak seberapa, yang penting ialah niat dan tujuan disebalik acara-acara tersebut. Kedua-dua pihak bersetuju bahawa ini adalah satu lawatan yang berjaya dan diharapkan ianya akan diteruskan lagi, kali ini dengan lebih ramai penglibatan dari penduduk-penduduk di Lavender Heights.

Di bawah ini ditunjukkan beberapa gambar yang telah diambil ketika lawatan tersebut. Lebih banyak gambar ditempatkan di http://i731.photobucket.com/albums/ww314/krtlavender/Beringin/ untuk anda memuat-turun.












0 komen:

Post a Comment