4X4 Ulu Slim 2008

Utusan Malaysia
15/02/2008

SEREMBAN - Rukun Tetangga (RT) Lavender Heights, Senawang di sini menganjurkan program Perkhemahan Pacuan Empat Roda (4X4) Ke Ulu Slim, Perak sebagai satu usaha untuk memperkukuhkan ikatan permuafakatan penduduk setempat.

Menurut Biro Sukan dan Rekreasinya, Mohd. Ghazi Abdul Rashid, program yang julung-julung kali diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan dan disertai oleh 42 penduduk dengan menaiki 13 buah kenderaan pacuan empat roda.

''Ia juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim sesama jiran tetangga melalui pelbagai aktiviti yang bakal diadakan sepanjang kembara dua hari tiga malam ke Kampung Ulu Slim Tanjung Malim, Perak," kata beliau.
Perasmian dan pelepasan program tersebut dilakukan oleh Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO, Bibi Sharliza Mohd. Khalid yang juga merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi dalam pilihan raya 2004.

Kata Mohd. Ghazi, selain berkhemah, aktiviti yang bakal diadakan adalah cara pemanduan asas kenderaan pacuan empat roda, latihan ketahanan diri dalam hutan dan senaman.

''Aktiviti-aktiviti seperti ini diadakan untuk memperkukuhkan jati diri peserta supaya kelak bersemangat kental dan waja dalam menghidupkan Rukun Tetangga (RT) di sini, terutama untuk menjamin keharmonian dan keamanan seluruh penduduk di taman ini," katanya.

Selain itu, kata Mohd. Ghazi, program tersebut juga adalah untuk menyahut saranan pihak kerajaan bagi menghidupkan tradisi berjiran di kawasan perumahan.

''Kami juga berharap untuk mengadakan lebih banyak aktiviti seperti ini pada masa akan datang dan kali ini bakal membabitkan lebih ramai penduduk termasuk kaum ibu-ibu dan anak-anak supaya kejiranan di sini menjadi lebih mesra," katanya.

1 komen:

Anonymous said...

x de gamber ke?

Post a Comment