80 Ahli KRT Tmn Wahyu lawat KRT Lavender Heights

Utusan Malaysia
23/05/08

SEREMBAN Penduduk di taman perumahan Lavender Heights, di sini, menerima kunjungan 80 ahli Rukun Tetangga (RT) Taman Wahyu, Kuala Lumpur dalam program lawatan sehari sebagai usaha mengeratkan hubungan antara RT seluruh negara. Pengerusi RT Lavender Heights, Hamzah Abd. Hamid berkata, kunjungan itu bukan sekadar lawatan biasa tetapi juga jalinan kerja dan pengalaman yang dikongsi bersama diperkukuhkan bagi diaplikasikan dalam mentadbir urus RT di taman perumahan di sini.

''Kita mahu mempelajari pengalaman RT Taman Wahyu dan kita akan melakukan yang terbaik bagi menyatukan kaum dan penduduk di Taman Lavender Heights ini. Kehadiran mereka dari Kuala Lumpur ini besar maknanya.

''Mereka bukan sahaja melawat RT di taman ini, tetapi juga mengadakan aktiviti bersama serta bertukar pendapat dan pandangan," katanya di sini hari ini.

Program berkenaan yang berlangsung hujung minggu lalu itu turut disertai wakil Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional negeri, Rina Harun serta 38 penghuni Rumah Anak Yatim Darul Aminan, Ampangan di sini.

Kata Hamzah, RT Lavender Heights bertuah kerana dapat melakukan aktiviti kebajikan dengan menyumbangkan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada rumah anak yatim tersebut, yang mana dikumpulkan di kalangan penduduk di sini.

''Kita di sini hidup dengan aman, walaupun dihuni pelbagai lapisan masyarakat, keturunan, fahaman politik serta pelbagai sektor pekerjaan.

''Melalui RT inilah, penyatuan itu dapat dibuat dan kita yakin aktiviti seumpama ini akan dapat diteruskan demi kesejahteraan penduduk dan perpaduan kaum," jelasnya.

0 komen:

Post a Comment