Showing posts with label Selamat Datang. Show all posts
Showing posts with label Selamat Datang. Show all posts

Selamat Datang

Salam Perpaduan.

Terima kasih kerana mengunjungi laman ini dan terima kasih juga atas sokongan anda selama ini. Setelah beroperasi lebih dari dua tahun, kami mengorak langkah untuk membuka satu lagi saluran perhubungan antara penduduk. Kami sedar akan perlu nya keperluan ini dan kami sentiasa berusaha untuk memastikan kelancaran komunikasi antara penduduk dilaksanakan dengan jayanya.

Usaha dan pengorbanan para penduduk dalam merapatkan hubungan siratul rahim dan menjaga keselamatan kawasan ini amat kami hargai. Kami bersyukur kerana walaupun jenayah sifar masih belum dicapai, namun untuk satu jangka waktu yang agak panjang semenjak penubuhan RT, kes-kes jenayah dapat dikurangkan dengan drastik sekali berbanding dengan sebelumnya.

Untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara, amatlah penting bagi kita untuk sentiasa berhubungan antara satu sama lain. AJK RTLH telah merencanakan beberapa aktiviti kemasyarakatan khusus untuk merapatkan penduduk-penduduk di Lavender Heights. Antara aktiviti-aktiviti itu adalah:

1. Gotong-royong
2. Hari keluarga
3. Lawatan ke KRT lain
4. Perlawanan bola persahabatan
5. Treasure hunt
6. 4WD adventure
7. Seni silat
8. Kompang

Kami juga sedang meneliti aktiviti-aktiviti lain yang bersesuaian dengan penduduk di Lavender Heights dan turut memperhalusi beberapa inisiatif dan insentif untuk anak-anak kita agar mereka berjaya di dalam bidang akademik. Galakkan seperti ini harus kita terapkan di dalam diri masing-masing agar nilai murni ini berkekalan di dalam sanubari penduduk-penduduk di Lavender Heights.

Sebagai langkah awal, pihak RTLH sedang berusaha dengan beberapa pihak untuk memberi peluang anak-anak yang bakal mengambil peperiksaan tahun ini untuk menyertai kem persediaan pelajar. Kami akan memaklumkan perkembangan ini dari masa ke semasa melalui laman web ini.

Kami juga memohon jasa baik ibubapa untuk menjaga perilaku anak masing-masing memandangkan kami telah menerima banyak aduan terutama mengenai remaja yang terlibat dengan aktiviti merempit, merokok, memandu tanpa lesen, berdua-duaan di kawasan tertentu dan sebagainya. Ada antara mereka yang masih bersekolah rendah. Pendidikan awal akan memberikan lebih manafaat kepada mereka. Bagi ibubapa prihatin, kami ucapkan ribuan terima kasih.

Kami juga ada menerima aduan mengenai aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh jiran-jiran yang di luar batasan kejiranan sehingga mengganggu jiran-jiran yang sedang berehat di waktu malam. Kami memohon jasa baik tuan rumah untuk tidak menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut di dalam kawasan perumahan. Sekiranya hal ini masih berlaku, maka kami akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kejiranan ini kekal harmoni. Kami juga ingin mengingatkan penduduk bahawa aktiviti pembinaan/pengubahsuaian rumah tidak dibenarkan pada hari cuti umum dan selepas jam 6.30ptg. Ini juga boleh mengganggu jiran-jiran yang hendak berehat ketika itu. Kami memohon keprihatinan para penduduk dalam hal ini.

Di samping itu kami galakkan anda menyertai rondaan sukarela yang diadakan setiap hujung minggu supaya anda dapat mengenali jiran-jiran anda dengan lebih rapat lagi. Kami sedar ramai yang tidak mempunyai masa untuk diluangkan untuk tujuan ini, namun jiran-jiran andalah yang akan membantu di waktu kesukaran. Kehadiran anda walaupun sekali dalam sebulan akan memberi nilai yang besar, bukan hanya pada anda, tapi juga keluarga anda. Anda adalah contoh kepada generasi akan datang dan mereka akan belajar dari apa yang mereka saksikan, sama ada baik maupun tidak.

Untuk mereka yang berminat, anda boleh menyertai rondaan ini seperti maklumat di bawah:

1. Fasa 1 - berkumpul di Guard House
2. Fasa 3 - berkumpul di Balai RT di 1136 LH 24
3. Jam 1 pagi setiap Sabtu & Ahad

Sekiranya anda mempunyai apa-apa cadangan atau pandangan, kami alu-alukan perkara ini dipertengahkan samada melalui laman blog ini atau pun menghubungi terus pengerusi RT di kawasan anda.

1. Fasa 1 - Cikgu Khairul (017 2915268)
2. Fasa 3 - Tuan Hamzah Hamid (012 9163034)

Kerjasama yang anda telah hulurkan selama ini kami hargai dan semoga sokongan anda berkekalan sentiasa.
Terima Kasih sekali lagi dan Salam Perpaduan dari semua AJK RTLH.