Hari Keluarga Lavender Heights 2011


Hari Keluarga Lavender Heights kembali lagi. Ianya dijadualkan pada hari Sabtu,23 Julai, bermula jam 7.30 pagi. Pelbagai acara sedang diaturkan untuk memastikan kemeriahan di hari tersebut. Yang pentingnya penduduk dapat mengenali antara satu-sama lain dan dapat merapatkan hubungan siratul-rahim sesama warga Lavender Heights.

8 pagi Acara perasmian
8.30 pagi Anugerah jiran cemerlang dan penyampaian surat penghargaan kepada penyumbang-penyumbang utama
9 pagi Pertandingan mewarna kanak-kanak & Telematch Kejiranan
12.30ptg Penyampaian hadiah dan Cabutan Bertuah

Hari keluarga ini dicadangkan untuk diadakan di padang LH 24 memandangkan itu adalah kawasan lapang terbesar yang dapat menampung jumlah penduduk di sini. Jemputan-jemputan khas termasuklah dari MPS, JPNIN, PDRM, Ahli Parlimen Rembau serta ADUN Paroi. Sekiranya tiada halangan, majlis akan dilancarkan oleh Tan Sri Isa Abdul Samad selaku Penaung AJK KRT Lavender Heights.

Bagi Anugerah Jiran Cemerlang, para AJK KRT Fasa 1 dan 3 akan memilih calon-calon dari penduduk di Lavender Heights sebagai penerima anugerah ini. Pemilihan ini adalah berdasarkan kepada sumbangan seseorang itu terhadap masyarakat di Lavender Heights ini dalam semua bentuk. Ianya tidak terhad terhadap aktiviti-aktiviti KRT sahaja. Beliau akan dinilaikan secara teliti agar tiada perasaan tidak puas hati yang mungkin timbul kelak.

Pertandingan mewarna kanak-kanak disusun mengikut kategori umur. Kategori tersebut adalah bawah 6 tahun, bawah 9 tahun dan bawah 12 tahun. Kertas mewarna akan disediakan. Anak-anak diminta untuk membawa peralatan lukisan masing-masing dan papan lapik. Cenderahati akan diberikan kepada setiap kanak-kanak yang awal mendaftar diri. Johan sehingga tempat ketiga untuk setiap kategori akan mendapat hadiah.

Untuk mengisi tabung KRT dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, gerai-gerai jualan juga disediakan untuk mereka yang berminat untuk menawarkan sebarang produk atau perkhidmatan termasuk makanan/produk kesihatan/ barangan elektrik/perhiasan/kereta dll.

Setiap gerai akan dikenakan yuran RM50 dan nilai jualan akan diambil 10% untuk dimasukkan ke dalam tabung KRT. Jumlah gerai adalah terhad, maka daftar lah segera. Anda bebas untuk menjual apa sahaja barangan termasuklah makanan maupun minuman.

Untuk urusan jual-beli, kupon bernilai RM10 (RM1x8 + RM0.50x4) dijual di kaunter urus-setia pada hari tersebut. Ianya juga adalah tiket anda ke Cabutan Bertuah kerana setiap kupon RM10 mempunyai 1 nombor cabutan. Kami sedang berusaha untuk menyediakan hadiah-hadiah yang menarik terutamanya hadiah utama yang kami jangka akan menghangatkan lagi suasana pada hari tersebut.

Selain daripada itu sebuah gerai khas disediakan untuk memberi kelas ringkas Cupcake decoration untuk kanak-kanak secara percuma. Kanak-kanak juga akan ditunjukkan cara untuk membuat kraftangan yang sesuai dengan umur mereka.

Gerai-gerai permainan turut disediakan untuk jiran-jiran mencuba kehebatan masing-masing. Hadiah-hadiah menarik disediakan untuk para pemenang.

Selain daripada itu, kami juga akan membuka sebuah khemah khas untuk penduduk-penduduk untuk menjual barang-barang terpakai. Konsep "Garage Sale" ini akan dikendalikan oleh AJK KRT sendiri. Tuan punya barangan akan meletakkan harga masing-masing ke atas barang-barang jualan mereka. Ianya akan dipamerkan di khemah tersebut. Seperti gerai jualan, 10% dari hasil jualan akan disalurkan ke tabung KRT.

Kami juga mengalu-alukan sumbangan di dalam apa jua bentuk, juga sebarang cadangan untuk menjayakan program ini bersama-sama. Cadangan-cadangan bernas akan kami laksanakan. Penglibatan anda amat kami hargai. Sila hubungi AJK kami yang berikut untuk maklumat/pertanyaan di pusat operasi KRT Lavender Heights, atau hubungi nombor berikut:

Khairulaini Jamil – 0172915268

Datanglah beramai-ramai ke Hari Keluarga 2011 ini. Jumpa anda di sana.

0 komen:

Post a Comment