Hari Keluarga Lavender Heights 2009


Hari keluarga Lavender Heights 2009 telah berlangsung dengan jayanya pada 2 Ogos 2009. Dianggarkan hampir 800 penduduk dewasa dan kanak-kanak telah hadir pada hari tersebut dan ini menjadikan Hari Keluarga Lavender Heights 2009 ini sebagai acara yang paling berjaya telah dilaksanakan di taman kita setakat ini.


Sejak dari jam 7 pagi, penduduk telah mula mendaftarkan diri dan bersarapan pagi di khemah-khemah yang telah disediakan. Jam 8 pagi, sekitar tapak Hari Keluarga telah pun dipenuhi dengan penduduk-penduduk yang tidak sabar-sabar menunggu acara walkathon dimulakan. Acara walkathon terpaksa dipinda ke acara individu (dewasa lelaki, dewasa wanita dan kanak-kanak) setelah meniliti kesesuaian di minit-minit yang terakhir. Walaupun begitu, acara tersebut telah berjaya menarik banyak penyertaan dan kami amat berbangga dengan sikap penduduk-penduduk yang sporting dalam menjayakan semua acara yang telah disediakan.


Acara perasmian telah bermula dengan ucapan dari Pengerusi Hari Keluarga 2009 merangkap Pengerusi KRT Lavender Heights Fasa 3, Tuan Haji Hamzah Abd Hamid. Antara intipati ucapan beliau ialah pentingnya kita hidup bermasyarakat, saling bantu membantu antara jiran dan mengambil berat akan persekitaran kita. Upacara memotong riben untuk merasmikan Hari Keluarga 2009 telah menyaksikan kedua-dua Pengerusi KRT Fasa 1 dan Fasa 3 bersama-sama merasmikan majlis.



Acara perasmian ini juga menjadi majlis perasmian Kumpulan Kompang KRT Lavender Heights. Diketuai oleh Cikgu Asri, mereka telah mempersembahkan tiga buah lagu sesuai dengan acara yang dijalankan. Malahan belum sempat kompang dipalu, kumpulan ini telah ditempah untuk bermain di majlis perkahwinan Sdr Ali Osman di Jalan 23 pada minggu berikutnya. Dengan berpakaian t-shirt putih berlogokan Lavender Heights VVIP, ahli-ahli kumpulan ini telah berjaya memainkan lagu-lagu mereka dengan berjaya sekali. Tahniah kepada anak-anak muda Lavender Heights ini.


Walaupun acara perasmian hanya bermula jam 9, gerai-gerai telah dibuka sejak awal pagi lagi. Penduduk-penduduk telah disajikan dengan pelbagai barangan termasuklah makanan, minuman, produk kesihatan, insuran, pakej pelancongan, gerai permainan, buku-buku, ikan laga, gerai NGO, pusat pembelajaran, malahan meja MPS turut disediakan untuk mereka yang mahu membuat pertanyaan ataupun terus membayar cukai. Di samping itu petunjukan silat oleh Kumpulan Silat Seni Gayong bersama-sama pesilat-pesilat SUKMA Negeri Sembilan turut dipertontonkan kepada semua. Kami bercadang untuk menubuhkan kumpulan silat di Lavender Heights ini selepas Hari Raya nanti. Semoga usaha ini akan berjaya menarik para remaja, tidak kira lelaki maupun perempuan di dalam memperkembangan nilai seni dan bangsa di dalam jiwa masing-masing.



Seterusnya pihak AJK Hari Keluarga Lavender Heights 2009 telah berbesar hati menganugerahkan Sdr Rashid B Diron sebagai Jiran Cemerlang 2009. Beliau yang juga salah seorang penaja Hari Keluarga 2009 ini telah diberikan satu plak sebagai tanda terima kasih kami semua kepada beliau. Semoga di tahun-tahun hadapan anda pula akan dipilih sebagai penerima anugerah Jiran Cemerlang. Tahniah Sdr Rashid.


Kemudian, acara-acara telematch dan pertandingan mewarna kanak-kanak pun bermula. Pelbagai aksi dan ragam dapat dilihat pada hari tersebut. Sudah pasti ada yang kalah dan ada yang menang. Ada yang tergelak, ada yang tersengih dan ada juga yang tergolek-golek. Walaupun pemenang untuk acara-acara tersebut mungkin sedikit, namun pada hakikatnya pemenang sebenar pada hari tersebut adalah semua penduduk-penduduk yang hadir untuk menjayakan Hari Keluarga 2009 ini. Mereka lah punca sebenar mengapa acara ini terlaksana dengan jayanya sekali. Dari ibu dan bapa, ke anak-anak, samada kecil maupun remaja, masing-masing mengambil bahagian dalam memeriahkan suasana. Lihat sahajalah wajah-wajah keceriaan mereka:











Namun ada dua acara yang paling ditunggu oleh ramai orang iaitu acara tarik tali dan cabutan bertuah pastinya. Tarikan hadiah utama iaitu sebuah TV LCD berjenama LG 32" menjadi harapan semua penduduk yang hadir. Walaupun hanya ada seorang sahaja pemenang hadiah utama, lebih 30 hadiah-hadiah sampingan termasuklah sebuah DVD player dan pakej pelancongan ke Tioman telah dimenangi oleh penduduk-penduduk. Di dalam acara tarik tali pula, tidak kira tua atau muda, masing-masing memerah tenaga sambil disorak oleh para penonton sekalian. Empat pasukan telah bertanding dan gelagat mereka ketika beraksi amat menghiburkan penduduk-penduduk semuanya.





Yang pastinya, penduduk-penduduk kini lebih mesra antara satu sama lain dengan adanya acara-acara seperti ini. KRT Lavender Heights berhasrat untuk meneruskan usaha-usaha sedemikian dengan sokongan penduduk-penduduk. Banyak lagi gambar-gambar boleh anda nikmati di sini
(Rujuk pada Albums - Hari Keluarga 2009A dan 2009B)

Semoga kita bertemu lagi di acara seterusnya. Terima kasih kepada semua yang menjayakan Hari Keluarga Lavender Heights 2009.

Kepada semua hero-hero Hari Keluarga Lavender Heights 2009 yang bertungkus-lumus siang dan malam, kami ucapkan ribuan terima kasih. Jasa anda dikenang sentiasa:

1 komen:

Pengerusi KRT Fasa 1 said...

Sdr Admin.

Bolehlah iklankan:

1) jual basikal, (utk tabung KRT) yg di simpan di rumah Pengerusi KRT Fasa 1 (reserve price RM400);

2) tempahan pasukan kompang - beri no. hp. Pengurusnya untuk rundingkan tarikh, masa dan saguhatinya.

T.Kasih.

Post a Comment